"Jom join aku jadi ejen takaful!"
"Tak pa la. Aku rasa aku tak sesuai la. Lagi pun aku agak sibuk dok uruskan trip ke Jepun"
Alasan? Mungkin ya, mungkin tidak. Yang pasti ianya bukan rezeki aku untuk menjadi seorang perunding takaful dengan menyahut saranan tersebut dari seorang rakan pada tahun 2017.
Sedang dia sibuk meneruskan kerjayanya sebagai seorang perunding takaful, aku dengan haluanku untuk membawa seberapa ramai mungkin rakyat Malaysia bagi mengenali sebuah negara unik yang dikenali dengan nama Negara Matahari Terbit.
2020, tahun yang dikatakan akan ada kereta terbang, tetapi kapal terbang pun tak boleh terbang. Covid-19, nama yang selalu meniti di kaca TV. Dari berita pagi, tengah hari, terkini dan malam hari. Semuanya berkisarkan mengenai wabak yang satu ini. Bertapa banyaknya industri terjejas akibatnya sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Industri berkaitan pelancongan boleh dikatakan hampir lumpuh.
Aku bagaimana? Bohong jika dikatakan aku tidak terkesan. Sangat-sangat terkesan. pelbagai kerja dibuat untuk cari makan. Asal kerja jadi duit orang kata. Masa ini pun ada juga rakanku si ejen takaful itu bersuara mengajak lagi. Kali ini aku hanya tersenyum kelat. Tiada jawapan pasti kerana aku masih tidak berkeyakinan untuk menyahut cabarannya.
Oktober 2020, kira-kira lapan bulan dari trip terakhirku ke Jepun. Rakan itu mengajak lagi sekali. Kali ini bukan aku seorang yang diajak seperti sebelum-sebelum ini. Semua rakan masa belajar juga diajaknya. Bukan sekali dua juga ajakan dia di sini tapi entah kenapa, kali ini aku cuma terfikir, mungkin aku patut mencuba sesuatu yang baru kali ini? Sesuatu yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Mesej di whatsapp group di baca dengan teliti. Terdetik dihatiku. Apa kata, aku cuba berikan peluang pada diriku sendiri untuk meneroka bidang yang begitu asing ini?
"Hang nak ajak join hang ni, cuba explain detail sikit kat kami semua ni"
Aku cuba mengacah dia.
"Tak boleh mai KL, buat online pun ok"
Akhirnya, satu sesi perjumpaan secara maya telah dijalankan. Jika tidak salah ingatanku, aplikasi Skype digunakan pada sesi tersebut. Pelbagai soalan aku tanyakan sehingga berpuas hati. Akhirnya aku membuat keputusan untuk mengambil ujian bagi membolehkan aku mendaftarkan diri sebagai ejen takaful yang sah.
27 Oktober 2020, tarikh ujian. Alhamdulillah aku lulus. 4 November 2020 adalah tarikh rasmi aku diterima sebagai Perunding Takaful di Great Eastern Takaful. Selepas itu, bermulalah kehidupan aku sebagai seorang perunding takaful.
Sekarang sudah kira-kira lima bulan aku berada di dalam bidang baru ini. Adakah ianya suatu perjalanan yang senang? Tiada perkara yang senang dalam dunia ini. Kalau nak makan pun bukan main susah nak pilih menunya!
Apa yang aku boleh katakan, perjalanan ini masih sangat baru tetapi ianya tidak sesusah yang aku sangkakan pada 2017 yang lalu. ianya tidak mudah juga, tetapi tidaklah mustahil untuk mencapai kejayaan dalam bidang ini.
Adakah aku akan berjaya? Aku panjatkan doa kepada yang Maha Esa agar berjaya dan dipermudahkan perjalananku ini.
Kawan-kawan, doakan untuk aku sama ya!
#MycareerSwitchJourney
Nak pi Jepun!
ReplyDeleteJom lepas covid19 reda nanti :)
Delete